Agar Puasa Berbuah Takwa

 

Kurang tepat jika kita beranggapan tujuan berpuasa di bulan Ramadan adalah untuk merasai kelaparan si miskin supaya  simpati dan empati terhadap mereka. Justeru jika benar, mengapa orang miskin yang selalu lapar jugak diwajibkan? Bukankah mereka sudah biasa merasainya. Biarlah orang kaya sahaja yang diwajibkan berpuasa. Namun perintah Allah diwajibkan kepada kedua-dua si kaya dan miskin.

Pasti di sini ada tujuan lain yang lebih utama di sebalik rasa “lapar” semasa berpuasa. Amat besar bezanya berlapar kerana Allah (semasa berpuasa) dengan berlapar kerana tiada makanan untuk dimakan.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Allah berfirman: “Setiap amalan manusia itu untuknya kecuali puasa.Ia untukKu dan Aku yang memberi ganjarannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Paad bulan Ramadan, umat Islam berlapar hanya kerana Allah semata-mata. Ini kerana melalui ibadah puasa, Allah melatih kita untuk menjadi orang yang bertakwa sebagaimana FIrman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai oarng yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah 2:183).

Mengerjakan puasa umpama menanam pokok, untuk mendapatkan buah. Buah untuk puasa ialah TAKWA. Jadi, bagi mendapatkan buah TAKWA tersebut, seseorang itu perlu menjaga, mencegah dan berhati-hati daripada melanggar hukum Allah atas dasar keimanan. Ibadah diniatkan HANYA kerana taat kepada perintah Allah semata-mata, bukan kerana hikmah, ganjaran, fadhilat, apatah lagi ikut adat. Rumusnya puasa mesti dibina atas iman yang kukuh (benih yang baik), dan prosesnya dilaksanakan oleh jasmani dan rohani yang menepati syariat (pokok yang subur). Maka natijahnya, lahirlah manusia TAKWA (buah yang enak). Tidaklah nanti masih ada yang bernafsu buas walaupun sebulan berlapar dahaga, fikiran yang kotor walaupun telah menamatkan 30 juzuk bacaan Al-Qurannya atau hati yang masih tamak walaupun sudah bersedekah, beriktikaf dan berqiamulail. Wallahualam.

 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu MEMBESARKAN ALLAH kerana MENDAPAT PETUNJUKNNYA dan supaya kamu BERSYUKUR. (Surah Al-Baqarah 2:185)

– AL-Hijrah DPP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*