Jerebu: Apakah Pengajaran Kepada Kita?

Bertarikh 29 Oktober 2015 saya menyaksikan satu pemandangan langit ciptaan Illahi yang serba indah (gambar). Setelah selama beberapa bulan jerebu melanda rantau ini yang meliputi Malaysia, Indonesia dan Singapura yang berpunca dari kebakaran hutan yang besar di Indonesia membuatkan saya terfikir, apakah pengajaran yang kita dapat daripada masalah pencemaran alam ini?

Pernah tak sebelum ini kita sering merungut dengan keadaan cuaca negara kita? Bila cuaca panas, kita sering merungut panas, tak larat nak keluar, takut badan hitam. Bila hujan pun kita merungut, baju basah, tak boleh buat aktiviti luar, dan macam-macam lagi. Jerebu bukanlah perkara baru di rantau nusantara ini. Selagi ada tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab yang hanya mahu mengaut keuntungan dan mengambil jalan mudah, selagi itu ia akan berterusan. Tetapi tahun ini sangat terasa kesengsaraannya, berbulan-bulan langit kita dilitupi asap tebal yang membuatkan kita sakit.

 

Firman Allah:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

(Al Baqarah 164)

 

Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.

(Al Nahl 12)

savetheplanet

 

Di dalam ayat-ayat di atas menjelaskan betapa indahnya kejadian langit dan bumi yang dicipta oleh Allah, dan setiap satu daripada kejadian itu memberikan manfaat kepada kita dan hidupan di dunia. Ayat tersebut juga menyuruh kita menggunakan akal untuk memikirkan segala rahmat yang Allah berikan kepada kita melalui kejadian-kejadian indah tersebut supaya kita sentiasa bersyukur di atas nikmatNya

Jadikan peristiwa jerebu ini sebagai satu teladan untuk kita sentiasa mengingati kebesaran Allah dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan. Walaupun cuaca yang kita hadapi tidak seperti apa yang kita inginkan, kita masih mampu untuk menghirup udara segar. Bersama-sama kita menjaga alam sekitar kurniaan Illahi ini dengan sebaiknya. Elakkanlah pembakaran secara terbuka, dan penuhi kawasan persekitaran anda dengan tumbuh-tumbuhan.

P.S: Untuk sesiapa yang tidak faham gambar di atas, Baru-baru ini bintang filem terkemuka dari India, Rajinikanth iaitu seorang superstar filem-filem Tamil yang terkenal dengan aksi hebatnya, telah datang ke Malaysia untuk shooting filem terbaru beliau, maka muncul viral terbaru yang mengaitkan beliau dengan jerebu apabila keadaan jerebu semakin pulih sejurus dia tiba di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*